Tuesday, May 27, 2008

Perang Dalam UMNO

Sering dikatakan, isu UMNO adalah isu orang Melayu dalam UMNO. Orang asing seperti saya yang berbangsa Cina tidak patut campur tangan. Namun, percayalah. Pengetahuan saya tentang sejarah UMNO tidak cetek. Hormat dan penghargaan saya terhadap pemimpin UMNO bukanlah main-main.

Bacalah sejarah perjuangan pemimpin UMNO yang bermula sejak era Datuk Onn Jaafar. Walaupun Datuk Onn meninggalkan UMNO dan menubuhkan Parti Negara, namun kita semua tidak boleh melupakan detik-detik sumbangan Datuk Onn.

Selepas Datuk Onn, sejarah orang Melayu dan Malaysia serta masyarakat berbilang kaum mula berubah. Era Tunku Abdul Rahman memberi kebebasan, kemerdekaan dan kedaulatan kepada orang Malaysia. Tanpa Tunku, sumbangan orang Melayu dari segi kewangan dan perpaduan bersama dengan orang bukan Melayu, maka negara ini pasti akan terus berada di bawah telunjuk jari British, seperti Australia.

Tunku Abdul Rahman memegang jasa paling besar dan memang patut diberi gelaran Bapa Kemerdekaan. Setelah Tunku menghadapi pergolakan politik dan ketidakstabilan di Malaysia, Tun Abdul Razak mengambil alih. Pentadbiran Tun Abdul Razak membawa kepada perubahan yang besar dalam polisi masyarakat Malaysia.

Saya pasti semua rakyat Malaysia masih ingat polisi pecah dan perintah yang diperkenalkan oleh British. Monopoli ekonomi dipegang oleh orang bukan Melayu. Dan dasar pecah dan perintah menyebabkan budaya setiap bangsa berlainan sehinggalah wujudnya situasi yang tidak aman dan tenteram.

Di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak, struktur masyarakat negara mula berubah sehingga kini dengan polisi Dasar Ekonomi Baru.

Tak perlulah saya mengungkit sejarah dan analisis tentang polarisasi kaum kerana saya telah membincangkan isu ini suatu ketika dahulu. Bacalah di sini http://manifestogwl.blogspot.com/2006/08/masalah-polarisasi-kaum-bagaikan-tiada.html

Kepimpinan Tun Hussein Onn melihat negara kita berpegang teguh kepada prinsip perpaduan. Tun Hussein Onn sering kali memperkenalkan polisi keamanan dan perpaduan kepada masyarakat Malaysia.

Selepas era Tun Hussein, tibalah masa Tun Dr Mahathir. Lihatlah apa yang telah Tun lakukan. Saya rasa tak perlulah saya mengulas panjang lebar. Adalah ramai yang menghantar mesej kepada saya mengatakan saya penyokong Tun Dr Mahathir. Ada sesetengah yang kata saya ini tak waras dan mengambil segala kata-kata Tun seperti kandungan kitab.

Tak benar langsung. Bacalah koleksi ucapan-ucapan Tun. Lihatlah sejarah Tun. Imbas kembali sumbangan Tun. Saya tahu ramai di luar sana yang mempunyai tanggapan tidak baik tentang Tun. Namun begitu, tanyalah hati. Siapa di dunia ini yang tak buat salah? Sekiranya Tun bersalah, tunjuklah bukti dan jangan hanya pandai kata di luar.

Saya menyokong Tun Dr Mahathir bukan secara membuta tuli. Kepimpinan, visi, minda dan pengetahuan Tun Dr Mahathir yang saya junjung. Ada masa, bacalah koleksi ucapan Tun dan sejarah serta sumbangan Dr Mahathir.

Ada juga saya membaca buku yang menganalisis secara kritikal polisi -polisi serta badan kerajaan di bawah pimpinan Dr M yang tidak popular dan menimbulkan masalah seperti isu Perwaja Steel, Dasar Otomotif Nasional, dan sebagainya.

Oleh itu, saya berharap para pembaca blog saya ini tidaklah sering mengatakan saya ini mengambil setiap perkataan yang Tun ungkap bulat-bulat. Ini hanya menunjukkan betapa ceteknya minda anda yang tidak membaca isu-isu, sumbangan dan sejarah Tun Dr Mahathir dari pelbagai perspektif.

Teras perbincangan kita kali ini ialah Perang Dalam UMNO. Ada sesetengah blog mengatakan Tun Dr Mahathir pantang dicabar dan kerana dicabar semasa menghadiri suatu mesyuarat di Kedah, Tun membuat keputusan untuk meninggalkan UMNO.

Namun, saya berpendapat ini bukan faktor utama Tun meninggalkan UMNO. Dah banyak kali Tun berjumpa dengan pemimpin UMNO. Semuanya mengangguk kepala kata betul. Ada juga sesetengah perjumpaan dibatalkan dan diharamkan oleh pemimpin tinggi UMNO. Tun memegang kad keahlian UMNO 0001. Hidup Tun Dr Mahathir, nafas Tun Dr Mahathir dan nadi Tun Dr Mahathir semuanya tentang UMNO.

Tangisan yang para hadirin lepaskan di Perhimpunan Agung UMNO selama 22 tahun itu setelah mendengar ucapan Dr Mahathir berkaitan pemimpin UMNO, kebajikan orang Melayu dan kemajuan negara, adakah semuanya palsu? Nampaknya semua masih tidak faham perjuangan Tun. Bahkan kini saya orang bukan Melayu pun faham apa yang Tun cuba lakukan dan mesej yang ingin Tun sampaikan.

Tun meninggalkan UMNO. Namun sejarah Tun, sumbangan Tun dan hati Tun tetap bersama UMNO. Tun letih dengan sikap orang Melayu UMNO dan pemimpin UMNO kini.

Kata-kata Tun Dr Mahathir memang benar. Sekiranya ini berterusan, perang UMNO pada akhir tahun ini semasa Perhimpunan Agung hanya akan melihat Pak Lah terus berkuasa. Saya tidak adalah kuasa ataupun hak bagi menentukan sama ada Pak Lah patut jadi Presiden atau tidak. Saya hanya ada hak memberi analisis.

Buat masa ini, Tan Sri Muhyiddin dan Tengku Razaleigh perlulah bergabung kuasa. Tan Sri Muhyiddin tidak berupaya berperang secara sendirian. Beliau memerlukan sokongan padu daripada "veteran" dalam UMNO. Sekiranya diminta memberi nasihat, saya berpendapat bahawa Tengku Razaleigh perlu menjadi calon untuk mencabar Pak Lah dan Tan Sri Muhyiddin mencabar Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sekiranya menang, Tengku Razaleigh akan memegang jawatan Presiden UMNO dan Presiden Barisan Nasional. Walau bagaimanapun, Ku Li tidak patut memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia Keenam (sekiranya menang). Ku Li patutlah melantik Tan Sri Muhyiddin sebagai PM baru. Lihatlah perkara ini dari segi kestabilan serta konsistensi pentadbiran dan polisi memandangkan usia Ku Li. Kata-kata saya ini adalah demi UMNO, Barisan Nasional dan Malaysia.

Maka akan berlakulah peperangan Team A dan Team B seperti MCA dalam UMNO pada tahun 2008. Memanglah pada masa ini, tidak dapat dinafikan. Tidak semua ahli UMNO berpuas hati dengan kepimpinan UMNO. Perang Dalam UMNO pada akhir tahun ini tidak dapat dielakkan lagi.

Dari segi perang saraf, Tun Dr Mahathir tidak patut keluar dari UMNO. Sebaliknya, Tun patut menghadiri Perhimpunan Agung UMNO. Namun, tidak apalah. Kini, percaturan politik UMNO berada di tangan Pak Lah - Najib dan Ku Li - Muhyiddin.

Tunggulah dan lihat. Percaturan politik UMNO bakal menentukan masa depan Malaysia.

2 comments:

Anonymous said...

To say that many have bad impressions of Tun Mahathir is a very subjective matter. True enough Tun has made tremendous contributions to the nation that many wouldn't have imagined decades ago. But many now are resentful towards his current actions which are deemed as more demoralizing than encouraging. To support mainly based upon past contributions is not the way forward either. Time moves on and situations change. History is meant for references for the future not to be held as justifications for present actions. At the end of the day, its the decision of the majority that counts. We have already seen the people brave enough to make decisions that count for them as a whole. Why not trust Umno members to the same? Shd they also quit Umno like tun to force pak lah out? Aren't there proper channels to do this within the party itself? yes, there are groups in the party unwilling to move away from their comfort zone to make changes. if one looks at the bigger picture, the opposition is growing strong. if currently, unity isn't important in the party to help it rebuild itself, then what is important? i'm glad you have mentioned the importance of unity during the old times.. it justifies the importance of putting away differences for the better future. i believe that shd also be done for tun n pak lah. But i believe no one shd become the middle man for this. it is up to both men themselves to decide for it for effective purposes.

Hiriyati said...

Wei Liang Goh,
Saya kagum dengan pandangan anda. Anda fasih menggunakan bahasa kebangsaan dan anda arif tentang sejarah negara. Sebagai seorang guru, saya pasti akan merasa bangga jika anda adalah bekas anak didik saya. Syabas! Anda sesungguhnya rakyat Malaysia.