Reformasi dasar ekonomi di Malaysia sememangnya perlu dipercepatkan untuk membantu kaum Bumiputera dan rakyat Malaysia dalam usaha mencapai "ekuiti Bumiputera" dan "perpaduan dan integrasi rakyat Malaysia".
Memandangkan DEB dan DPN telah gagal mencapai matlamatnya, walaupun berjaya membangunkan Malaysia, satu polisi baru perlu dibentangkan di Parlimen dan diwartakan sebagai dasar kerajaan yang baru.
Memanglah benar, kemiskinan rakyat Malaysia tidak tertakluk kepada kaum Bumiputera sahaja.
Ramai di kalangan orang India, Cina, Iban, Kadazan dan sebagainya yang masih hidup papa.
Para pemimpin sentiasa mengaitkan hak istimewa kaum Bumiputera yang tertera jelas dalam Perlembagaan Malaysia dengan agihan ekonomi kepada orang Melayu.
Sekiranya Kerajaan Malaysia ingin membantu mengurangkan jurang sosioekonomi antara kaum di Malaysia, para pemimpin patut membentangkan polisi yang membantu rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah. Langkah ini setimpal dengan hujah Kerajaan Malaysia iaitu ekuiti orang Bumiputera masih rendah.
Kaum Bumiputera sendiri mempunyai jurang pendapatan yang besar. Jelaslah ada yang kaya dan ramai Bumiputera yang miskin. Pendapatan pertengahan kebanyakannya kaum bukan Bumiputera.
Polisi sebegini berupaya mengurangkan jurang antara kaum bumiputera dan bukan bumiputera.
Ini akan membuka peluang kepada pembangunan nasional di mana kaum Melayu dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam ekonomi Malaysia, berbanding kini.
DEB dan DPN dilihat seperti membantu sebilangan golongan Melayu sahaja. Ramai orang Melayu masih tidak mendapat "pai ekonomi" yang menjadi hujah Kerajaan.
Memanglah benar DEB dan DPN telah mewujudkan golongan taikun Bumiputera seperti Tan Sri Syed Mokhtar dan sebagainya.
Namun, golongan taikun ini, dengan pengecualian Tan Sri Syed Mokhtar, yang "diwajibkan" untuk membantu orang Bumiputera dari segi sosioekonomi telah gagal melaksanakan tugasan mereka itu.
Perpaduan negara tidak akan tercapai sekiranya jurang ekonomi antara kaum ataupun individu sangat ketara.
Bersama-sama polisi baru, perlulah wujud juga polisi pendidikan yang berunsurkan masyarakat Malaysia yang intelektual, perpaduan dan integrasi nasional.
Walaupun pendidikan tidak dapat membawa integrasi dan mencapai perpaduan Bangsa Malaysia yang berbilang kaum sepenuhnya, namun pendidikan dapat merapatkan jurang perbezaan pendapat, kaum dan taraf ekonomi mana-mana individu atau kaum.
Oleh itu, Kerajaan Malaysia patut menilai semula kegagalan Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional untuk membantu mengurangkan jurang sosioekonomi antara kaum.
Melalui polisi baru yang akan membantu rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah, di mana penerima terbesar langkah positif ini ialah orang Melayu, Malaysia tentu akan maju dan segala agenda DEB atau DPN akan tercapai.
Malah, perpaduan rakyat Malaysia dan integrasi nasional yang dahulunya menjadi impian akan mula menjadi kenyataan.
No comments:
Post a Comment