Friday, December 26, 2008

Janji Anwar Ibrahim - 100 hari

Hari ini, 26 Disember 2008, merupakan hari yang ke-100 Datuk Seri Anwar Ibrahim menipu rakyat Malaysia.

Sejak bermulanya "tsunami Mac", Anwar dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat seperti Lim Kit Siang dan Haji Hadi Awang menimbulkan ketidakstabilan di Malaysia.

Ramai di kalangan rakyat Malaysia yang risau dan menimbulkan pelbagai spekulasi sama ada :

1. Anwar Ibrahim ikhlas memimpin Malaysia.
2. Anwar Ibrahim mempunyai senarai MP Barisan Nasional yang akan "crossover".
3. Anwar Ibrahim akan membentuk Kerajaan baru (A New Dawn For Malaysia).

Namun, segala-galanya satu pembohongan. Pengundi-pengundi di Permatang Pauh bukan sahaja ditipu. Malah, kepercayaan serta amanat yang diberi kepada Anwar Ibrahim dikhianati.

Sebelum 16 September, bukan main ramai penganalisis politik, blogger, media, kakitangan kerajaan dan sebagainya (termasuk pelajar-pelajar Universiti) yang begitu asyik meraikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru.

Ada suatu ketika dahulu saya menulis di Facebook - Anwar menggila. Pakatan Rakyat patut mohon undi tak percaya terhadap Ketua Pembangkang Negara.

Beberapa rakan saya membalas :

1. sabarlah sikit. akan datang
2. tunggulah, oktober 7 tarikh baru.

Akhirnya, genap 100 hari pada 26 Disember 2008, Anwar Ibrahim kini masih lagi Ketua Pembangkang Negara. Pemimpin Pakatan Rakyat ini bijak dengan Malaysian Agenda, saya akur.

Malaysian Agenda ini nampak mantap dalam tulisan tetapi sayang sekali, sebuah kapal yang mempunyai Timbalan Kapten dengan objektif yang berlainan akan tenggelam.

Lihatlah objektif DAP dan PAS. Kedua-dua parti ini bersama dengan PKR nampaknya hanya berganding bahu semasa Pilihan Raya.

Mungkinkah ini "nominal partnership, non practical alliance"?

Walaupun saya ini rakyat Malaysia berbangsa Cina, saya masih tetap menyanjungi Dato' Husam Musa.

Memanglah benar Dato' Husam Musa menimbulkan isu undang-undang Hudud baru-baru ini dan saya tidak setuju sepenuhnya.

Bagi saya, asalkan set undang-undang yang sedia ada kini mampu menjana satu masyarakat majmuk yang progresif, aman dan damai, apakah salahnya?

Tetapi, usaha-usaha Dato' Husam Musa dalam Kijang Care, di Kelantan dan dalam politik Malaysia yang menjaga kebajikan rakyat termasuk orang-orang Melayu, Cina dan India kekal dihormati saya.


Dua hari yang lepas, ada seorang yang bertanya kepada saya sama ada Najib mempunyai hubungan dengan Altantuya. Jawapan saya mudah.

"Entahlah. Tanya YB Tian Chua. Beliau kata dalam tangannya, ada gambar Najib dan Altantuya. Dulu ada "doctored picture". Mungkin yang tulen ada pada dia kot. Tapi dah lama tak dengar dari Tian Chua berkaitan gambar tu".

Pada pendapat saya, terlalu banyak "hearsay" (khabar angin) dan berita-berita yang langsung tidak benar sibuk dibincangkan di peringkat "groundroots".

Kadang-kadang saya bertanya kepada rakan-rakan dan ahli keluarga, kalau dahulu kami mengutuk setiap perkataan, janji dan tingkahlaku Barisan Nasional, mengapa

1. pembohongan pembentukan kerajaan baru oleh Anwar Ibrahim
2. penipuan Anwar di pintu Kedutaan Turki bahawa 4 MP UMNO akan "crossover"
3. penipuan Anwar bahawa ada MP-MP MCA dan East Malaysia yang akan "crossover"
4. gambar Najib-Altantuya yang Tian Chua kata ada
5. Pakatan Rakyat yang selalu hilang arah dan agenda

langsung tidak disoal dan Pakatan Rakyat terus dijunjung?

100 hari telah berlalu. Janganlah kata nak bentuk kerajaan baru. "Shadow cabinet" pun tak ada lagi. Dalam sistem demokrasi yang mantap, parti pembangkang biasanya akan mempunyai "shadow Cabinet".

Baca blog ini - "Uncommon Sense 14: Where is Anwar's Shadow Cabinet?" . Amat menarik perhatian dan membuat pembaca berfikir.

Namun, Anwar masih enggan membuat pengumuman tentang jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Perdagangan, Menteri Kewangan, Menteri Pengangkutan dan sebagainya sekiranya Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan baru.

A PIECE OF MY MIND akan terus mengira hari-hari yang telah berlalu. Bacalah artikel baru di Malaysiakini - Sept 16 gone, what now for Anwar?

Anwar akan mencatur strategi baru. Kali ini, YB Permatang Pauh akan masuk terus ke negeri-negeri yang memegang kunci kepada Putrajaya - Sabah dan Sarawak.

Japan Times pernah melaporkan isu korup yang membabitkan Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud. Rakyat Sarawak dan Sabah tak bodoh.

Sekiranya Barisan Nasional terus dengan kerenah dan pemimpin yang korup, maka yang alternatif akan diundi untuk membentuk kerajaan baru di peringkat negeri dan pusat.

Ketenteraman Sabah dan Sarawak tidak lama lagi akan bertukar menjadi krisis politik.

Menjelang tahun 2009, saya berharap Anwar tahu Malaysia akan mengharungi krisis kewangan sekali lagi. Demi Malaysia, berusaha bersama Kerajaan Malaysia dalam kapasiti sebagai Ketua Pembangkang Negara.

1 comment:

Anonymous said...

Baru 100 hari. UMNO dan BN (dulu Perikatan) sudah menipu kita 51 tahun.